Wednesday, January 12, 2011

Hyundai Elantra baru bakal dipasarkan di sini bagi menggantikan model sebelumnya. Hyundai Elantra atau di Korea dipanggil Hyundai Avante ini hadir dengan konsep rekaan yang sama dengan Hyundai Sonata baru iaitu lebih bercirikan gaya rekaan kereta buatan Eropah atau digelar ‘fluidic sculpture’. Apa yang boleh dikatakan berkenaan Hyundai baru ini ialah rekaannya begitu futuristik dan pujian dua ibu jari boleh diberikan. Ini adalah model Elantra terbaik yang pernah dibina oleh jurutera Hyundai dengan ciri-ciri yang lebih moden. Dengan melihat foto-foto yang dipamerkan sahaja sudah cukup untuk membuatkan bakal pembeli kereta baru menangguhkan dulu hasrat membeli kereta lain semata-mata menantikan ketibaan model tersebut di sini.




Paling menyerlah ialah bahagian dashboard di dalamnya, kelihatan begitu bergaya, moden dan futuristik. Rekaan sebeginilah yang dimahukan bagi sebuah kereta moden dan nampaknya Hyundai memahami kehendak pasaran. Hyundai juga tahu bagaimana caranya untuk bersaing dengan kereta-kereta lain yang tidak kurang hebatnya, terutama dengan kereta-kereta buatan Eropah yang menawan. Enjin Elantra baru ini berkapasiti 1.6 liter yang akan menghamburkan kuasa sebanyak 138hp dan 166Nm tork, cukup berpadanan dengan saiz sebuah sedan dalam segment C ini. Terdapat pilihan kotak gear manual dan automatik. Menurut Hyundai, model Elantra terbaru ini mempunyai enjin yang lebih menjimatkan petrol, sesuatu yang tidak menghairankan bagi sesebuah kereta moden.


Tarikh bila ia akan dipasarkan dan berapa harganya masih belum diketahui. Apa yang boleh dijangka ialah harganya akan ditetapkan dalam lingkungan RM90k – RM100k, cukup kompetetif untuk bersaing dengan model lain seperti Honda Civic, Toyota Corolla, Chevrolet Cruze, Honda City dan Nissan Sylphy. Sekarang semua orang bercakap tentang model terbaru Hyundai seperti Elantra dan Sonata setelah muncul dengan rekabentuk yang menawan dan moden. Proton boleh mengambil iktibar dari kejayaan Hyundai dalam mengeluarkan model baru yang cantik menawan ini dan jika perkara itu berlaku, seharusnya Proton akan kembali menguasai pasaran kereta penumpang tempatan.


No comments:

Post a Comment